Cakna Usahawan Bumiputera

 

WAJARKAH Usahawan Bumiputera seringkali dikaitkan dengan usahawan semusim dan begitu sinonim dengan perkataan gagal, kurang daya tahan dan kurang berdaya saing. Apabila mengalami kerugian teruk atau muflis. Alasannya tetap satu iaitu kemelesetan ekonomi tetapi mengapa usahawan bukan Bumiputera tidak pula mengalami nasib yang sama? Adakah sebab orang Melayu kita tidak pandai berniaga? Atau kegagalan usahawan bukan melayu tidak digembar-gemburkan?

Setelah 64 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, kita masih lagi tercari-cari siapakah tokoh-tokoh Bumiputera yang benar-benar terbilang dan boleh dibanggakan. Bukan sekadar menumpang nama yang gah sahaja tetapi pemilik mutlak kekayaan tetap bukan usahawan Melayu.
Dalam pencarian itu, ada yang mengatakan ia adalah sesuatu yang sukar, sebaliknya lebih mudah mencari tokoh usahawan ini yang mempunyai hutang yang besar. Ini dapat dilihat dalam fenomena, apabila diberikan pinjaman oleh kerajaan atau institusi kewangan, maka kecederungan untuk mendapatkan rumah, kereta malahan tidak kurang isteri baru amat tinggi di kalangan usahawan ini. Wang yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan perniagaan atau menjadi modal pusingan seringkali disalahgunakan. Kenapa ini berlaku?
Sebenarnya pada usia negara yang semakin matang dan cukup dewasa, kita sepatutnya boleh berbangga dan mempunyai contoh tokoh Bumiputera yang bergelar billionaire dan bukan sekadar millionaire. Bahkan, mempunyai nama-nama yang setanding dengan usahawan bukan Bumiputera yang tidak hanya di dalam negara tetapi juga antarabangsa.
Memang tidak dapat dinafikan kejayaan sesetengah usahawan ini yang sudah mampu ke peringkat antarabangsa. Tetapi jumlah itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah usahawan bukan Bumiputera yang terus menguasai ekonomi Malaysia.
Sebenarnya, penguasaan orang Bumiputera hanya 19 peratus daripada jumlah keseluruhan dalam ekonomi Malaysia, dan masih jauh ketinggalan berbanding penguasaan bukan Melayu. Jika usahawan ini mendabik dada dengan semangat juang sahaja yang tinggi, sebaliknya mengabaikan`jaringan kerja’ yang mantap dan terancang sepertimana usahawan bukan Bumiputera maka mereka melakukan kesilapan yang paling besar.
Sejajar dengan teknologi maklumat yang amat pesat membangun di Malaysia, maka usahawan Bumiputera sudah tidak mempunyai alasan untuk meletakkan diri mereka tercorot daripada usahawan bukan Bumiputera. Segala kemudahan sudah disediakan oleh kerajaan mahupun badan-badan tertentu. Dan contoh yang paling baik adalah syarikat yang menyediakan perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar, mereka yang memberikan perkhidmatan profesional dalam bidang-bidang tertentu sudah mula bertapak di Malaysia. Peluang sudah ada di depan mata cuma yang tinggal adalah menunggu tangan-tangan usahawan ini untuk mengapainya. “Wahai Bumiputera, duduk dan berfikirlah sejenak, adakah masih mahu menjadi usahawan Melayu yang lemah atau yang CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG?”

Related Posts